Jul 27, 2015

Abah

3 minggu.
Ya genap 3 minggu abah pergi.
Ya........ Abah dah pergi. Abah dah takde.

Macam-macam perasaan aku rasa.
Sedih. Terkejut. Tergamam.

Tak sangka. Sungguh. Begitu pendek waktu aku dapat kenal abah. Tak sempat abah nak tengok aku kahwin dengan anak dia pakai baju warna pink belacan.

Oh, pink belacan. Warna kegemaran abah.

Abah suka panggil aku 'Nadia' walaupun aku acapkali bahasa kan diri aku 'Nad'.

'Nadia nanti kahwin pakai warna pink belacan ye'
'Nadia nanti lahirkan cucu untuk abah ramai ye'
'Nadia abah minta maaf anak abah tak romantik'

Dua hari sebelum abah pergi, aku sempat buatkan abah bubur. Berselera sungguh abah makan. Hampir separuh bubur abah makan. Walaupun tak banyak. Padahal sebelum tu abah tak selera langsung nak telan makanan.

Mungkin abah nak jaga hati aku. Tiba-tiba,

'Entah sempat ke tak abah nak tengok cucu'
'Patut nya abah cakap sempat ke tak abah nak timang menantu'

Umi dan abah berseloroh. Aku senyum.

Kuasa Allah. Saat sebelum abah terpaksa ditahan di unit icu akibat sesak nafas, kebetulan waktu tu aku dan umi keluar pergi beli kfc untuk abah. Abah mengidam. Lagi, abah mengidam nak makan ikan masak stim untuk juadah berbuka. Sungguh aku tak sangka tu petanda abah nak pergi meninggalkan kami.

Dalam unit icu, aku dan umi orang terakhir berada dengan abah. Umi peluk abah. Umi cium tangan abah. Aku cuba untuk tak titiskan air mata tapi aku tak kuat. Aku salam abah. Aku cium tangan abah. Perit sungguh aku nak keluarkan kata-kata semangat. Aku rasa nak tampar je mulut ni.

'Abah berehat ye'
'Nadia tunggu abah kat luar'

Aku nampak abah senyum. Aku senyum. Kuat abah genggam tangan aku. Abah taknak lepas. Mata abah seperti pesan sesuatu. Aku pasti. Tapi umi tarik aku keluar. Umi peluk aku. Aku pasrah.

Malam tu, cuma aku berdua dengan umi. Doktor sahkan abah dalam kritikal dan peluang untuk hidup sangat tipis. Aku terkup mulut. Aku tak sanggup nak dengar lebih lanjut. Terhinjut-hinjut bahu aku tahan tangis.

Aku pandang abah terlantar di katil, aku pandang umi berdiri di depan aku tekun mendengar penerangan doktor. Mata umi kering. Umi tak menangis. Aku pasti.

Aku soal diri aku, kenapa aku perlu rebah sedangkan umi seorang isteri abah cukup tabah, cukup kuat?

Mula dari saat itu, aku mula janji dengan diri aku untuk tidak menangisi keadaan abah. Aku ganti tangisan tu dengan bacaan surah-surah alquran. Alhamdulillah aku tenang. Begitu juga dengan umi.


Kuasa Allah.
Tepat jam 4:33 pagi, abah menghembuskan nafas terakhir di KMC. Pertama kali aku lihat dia menangis. Dalam hati aku titip doa buat dia untuk terus kuat, aku titip doa moga itu tangisan sedih dia yang terakhir. Amin Ya Allah.


18 Ramadhan, bulan yang mulia.
Afandi Bin Mansor (ibu Enong)
Al-fatihah.